petikan murai.com.my 29 Oktober 2008
Teks oleh Ellyna Ali
KUALA LUMPUR, 29 OKT 2008: Tergelak besar M Nasir apabila ramai wartawan hiburan tempatan yang memberikan komen positif terhadap lagu duetnya bersama bekas anggota kumpulan Too Phat, Malique, Mantera Beradu.
"OK ya lagu tu?" tanya M Nasir dengan suara ceria sewaktu menghadiri majlis rumah terbuka Deeparaya anjuran syarikat pengurusannya, Beyond Artiste di Damansara Heights, Kuala Lumpur, semalam.
Dia yang kelihatan bergaya datang ditemani isterinya, Marlia Musa serta dua anak perempuannya, Nor Nilam Sari serta Suci Musalmah.
Marlia sendiri turut mengakui bahawa gandingan suaminya Nasir dengan Malique dalam lagu itu telah melahirkan satu karya yang memberikan kelainan cukup hebat serta berkarisma.
"Sebenarnya Abang Nasir sudah lama membuka pintu untuk bekerjasama dengan mana-mana penyanyi atau karyawan muzik muda. Tapi ramai yang tak berani serta takut-takut untuk datang berjumpa dengannya padahal dia sangat terbuka.
"Akhirnya Malique yang berani datang. Dia beritahu sendiri dengan Abang Nasir apa yang dia mahukan daripada lagu itu. Tapi, waktu merakamkan lagu itu, kita sendiri tak tahu bagaimana rupa dan bentuk lagu itu sehinggalah ia siap.
"Tapi selepas mendengar, kita sendiri rasa terkejut. Sebab tak sangka ia akan jadi sebegitu. Apa yang penting, Abang Nasir nampak fresh dan lain sangat dengan pendekatan yang seperti itu," kata Marlia kepada murai.com.my.
Apabila ditanya pandangannya apabila segelintir peminat menganggap bahawa vokal Nasir dalam lagu itu kedengaran begitu seksi, Marlia hanya tersenyum.
"Saya sendiri tidak nafikan apa yang orang cakap. Malah saya faham mengapa mereka kata suara Abang Nasir seksi. Lebih-lebih lagi bila dia tarik suara pada pitching yang tinggi. Saya sendiri rasa macam tu. Tapi, macam mana lain pun sound lagu ini tetapi ia tetap kaya dengan jiwa dan sentuhan Melayu.
"Malique bagi saya memang seorang anak muda yang berbakat besar serta penuh dengan idea-idea yang baru dan segar," kata Marlia yang masih menjadi tenaga pengajar di Aswara.
2 comments:
lagu 2 mmg sdap di dengar n sedap dihayati,,,
ad maksud trsmbnyi,,,
kamu kene tag..meh amik kat blog gue..
Post a Comment